Meskipun tak berapa jauh antaranya Batipuh dengan kota Padang Panjang, namun engkau telah terpisah dariku, engkau telah jauh. Dan pada persangkaanku sukar pula kita akan bertemu lagi, kerana boleh dikatakan berpagar aur berkeliling, langkah sentiasa dicuriga oleh keluarga. Meskipun di Padang Panjang ini ada rumah seorang sahabatkum Khadijah, tentu pula saya tak dapat datang dengan leluasa ke sana, sebab saya telah diberhentikan dari sekolah. Kalau tak ada sebab-sebab yang penting tak boleh keluar rumah.
Telah jauh engkau sekarang, kekasihku, alangkah besarnya kemalanganmu dan kesengsaraanku. Alangkah gelapnya dunia di sekitarku.
Saya telah menipu diri sendiri seketika saya memberi nasihat menyuruhmu berangkat meninggalkan Batipuh. Pada sangkaku ketika itu sebagai kuterangkan kepadamu saya akan sanggup sabar menahan hati berpisah dengan engkau. Tetapi setelah wajahmu yang muram itu, mata yang selalu membayangkan kedukaan, perkataan yang selalu menimbulkan kesedihan, setelah semuanya hilang dari mataku barulah saya insaf bahawa saya ini seorang gadis yang lemah hati, yang tak kuat, tak sanggup menanggung kedukaan dan kesedihan lebih daripada mestinya."
-Tenggelamnya Kapal Van der Wijck
Tiada ulasan:
Catat Ulasan