"Bukan begitu Tuan Zainuddin. Bukan saya benci kepada Tuan; kerana saya kenal budi baik Tuan. Saya merasa kasihan di atas segala penanggungan yang menimpa pundak Tuan. Tapi Tuan, sebuah yang saya takutkan, iaitu saya takut akan bercinta-cintaan.
Kau takut?
Ya, sebab pepatah telah pernah menyebut, bahawasanya seorang memburu cinta, adalah laksana memburu kijang di rimba belantara. Bertambah diburu, bertambah jauh dia berlari. Akhirnya tersesat didalam rimba, tak mampu pulang lagi. Saya takut akan terikat oleh percintaan, kerana saya seorang gadis kampung yang telah lama kematian ibu. Harta benda yang banyak itu bukanlah kepunyaanku tetap di bawah kuasa suku. Saya miskin dan papa. Saya tak ada ibu yang mengasuh, tak mempunyai saudara yang akan membela.
Tapi percayakah engkau bahawa hatimu suci?
Cuma itulah pedomanku, Tuan; saya percaya hatiku suci dan tiada bermaksud jahat kepada sesama manusia.
Kalau ada kepercayaanmu demikian, maka Tuhan tidaklah akan menyia-nyiakan engkau. Sembahlah Dia dengan khusyuk, ingat Dia pada waktu kita senang, supaya Dia ingat pula kita pada waktu kita sengsara. Dialah yang akan membimbing tanganmu. Dialah yang akan menunjukkan haluan hidup kepadamu. Jangan takut menghadapi cinta. Ketahuilah bahawa Allah menjadikan matahari dan memberinya cahaya. Allah yang menjadikan bunga dan memberinya wangi. Allah yang menjadikan tubuh dan memberinya nyawa. Allah yang menjadikan mata dan memberinya penglihatan. Maka Allah pulalah yang menjadikan hati dan memberinya cinta. Jika hati kau diberi-Nya nikmat pula dengan cinta sebagaimana hatiku, marilah kita pelihara nikmat itu sebaik-baiknya, kita jaga dan kita pupuk, kita pelihara supaya jangan dicabut Tuhan kembali. Cinta adalah iradat Tuhan, dikirimnya ke dunia supaya tumbuh. Kalau dia terletak di atas tanah yang lekang dan tandus, tumbuhnya akan menyeksa orang lain. Kalau dia datang kepada hati yang keruh dan kepada budi yang rendah, dia akan membawa kerosakan. Tetapi jika dia hinggap kepada hati yang suci, dia akan mewariskan kemuliaan, keikhlasan dan taat kepada Ilahi."
-H
Tiada ulasan:
Catat Ulasan